Thursday 27 December 2012

Asal usul kejadian Jin


Bismillahirahmanirahim..
“Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad Itu Utusan Allah..”
Assalamualaikum w.b.t..
Daripada Ibnu Abbas R.A: “Allah menciptakan pemimpin jin daripada nyalaan api. Kemudian dikatakan kepada jin yang baru sahaja diciptakan itu: ‘Mintalah sesuka hatimu’. Maka jin pun berkata: ‘Aku meminta agar aku dapat melihat tetapi aku sendiri tidak boleh dilihat, aku meminta agar aku dapat masuk ke dalam bumi dan aku meminta agar dipanjangkan lagi usia dan menjadi muda lagi sebelum mati’ “.
Berdasarkan al-Quran, Allah menciptakan jin itu daripada api yang panas, berbeza daripada malaikat yang Allah cipta daripada cahaya. Dikhabarkan juga jin dan malaikat itu dicipta terlebih dahulu daripada manusia namun tidak diketahui secara tepat berapa jarak masa antara dua penciptaan ini.
Dua istilah api yang berkait rapat dengan penciptaan jin ini iaitu Nar-Al Samum (api yang panas) dan Marij (nyalaan api). Namun ulama berpendapat tidak terdapat perbezaan ketara antara dua istilah ini malah al-samum merupakan sifat yang memperjelaskan sifat marij.
Dari segi bahasa, jin terdiri daripada dua huruf iaitu Jim dan Nun yang bermaksud sesuatu yang tersembunyi. Mana-mana perkataan yang beriringan daripada huruf Jim dan Nun maka maknanya tersembunyi atau tidak kelihatan. Jin digelar sedemikian kerana ia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata zahir.
Dari segi istilah terdapat berbagai jenis definisi yang boleh kita peroleh daripada perkataan jin namun terdapat definisi ringkas yang boleh kita petik berdasarkan pandangan Syed Sabiq di dalam bukunya “Al-iqaa’id Al-Islamiyyah”. Katanya: “Suatu jenis roh yang berakal yang mempunyai kehendak. Mereka adalah Mukallaf sebagaimana manusia, tetapi mereka tidak mempunyai jasad seperti manusia, tidak dapat dilihat dengan penglihatan, tidak dapat disaksikan bentuk dan tabiat mereka yang asli dan mereka mempunyai kuasa tersendiri untuk membentuk diri mereka”. 
Sumber: Buku Jin Hakikat & Pengubatannya (Dato Dr Ismail Kamus)

No comments:

Post a Comment